Wednesday

Kerajaan Diminta Contohi Negara Maju Beri Peluang, Pelepasan Kepada Golongan Muflis

Kerajaan perlu mencontohi negara maju yang memberi peluang dan pelepasan dengan syarat tertentu kepada golongan muflis untuk membina kehidupan baru, kata Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Tunku Azwil Tunku Abd Razak.

Beliau berkata sehubungan itu, kerajaan perlu mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 agar selari dengan keadaan semasa bagi mengelakkan golongan muflis terutama usahawan bumiputera berdepan masalah menguruskan perniagaan mereka.

“Mereka yang bankrap ini tidak mempunyai pekerjaan, tidak mempunyai sumber kewangan, malahan perlu membayar sejumlah wang kepada bank, dan jika gagal berbuat demikian, mereka akan dipenjarakan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tunku Azwil berkata kajian semula akta itu perlu dilakukan segera kerana ia bersifat menekan selain mendatangkan kesusahan kepada usahawan yang ingin memajukan perniagaan.

Sehingga hari ini, katanya, PPIM menerima kira-kira 80 aduan mengenai isu kebankrapan di kalangan usahawan bumiputera dengan pihak bank serta Jabatan Insolvensi Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Kerja PPIM Datuk Nadzim Johan menggesa Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Bank) lebih prihatin dan profesional dalam membantu usahawan bumiputera untuk berjaya selaras dengan agenda kerajaan.

Beliau berkata PPIM menerima banyak aduan daripada usahawan bumiputera yang berdepan masalah ketika memohon bantuan kewangan untuk memulakan serta mengembangkan perniagaan.

“Perkara utama ialah proses untuk SME Bank meluluskan permohonan pinjaman kewangan kepada mereka yang memakan masa bertahun-tahun. Mereka sudahlah tidak mempunyai modal cukup untuk berniaga, dan apabila berurusan dengan pihak SME Bank, terlalu banyak kerenah dalaman yang perlu dipenuhi,” katanya.

Nadzim berkata PPIM juga menggesa kerajaan agar lebih tegas dan mengekang kemasukan warga asing, terutama dari negara tertentu di Afrika, yang dilihat mendatangkan banyak implikasi negatif dan gejala sosial.

“Mereka ini datang kononnya menggunakan pas pelajar, namun dalam masa yang sama, terlibat dengan sindiket penipuan termasuk memerangkap gadis-gadis tempatan untuk dijadikan mangsa,” katanya.


– BERNAMA
Nota : Dan bagi kekawan yang lom add aku sebagai kawan FB korang.. korang kasi add aaa cari jer 'farid myvi' mudah jer.. jom kita kenal-kenal kat FB lak.. jom jom

No comments: