Friday

Pegangan bumiputera cecah 22%

PUTRAJAYA 17 Feb. - Pegangan ekuiti bumiputera dalam pasaran modal kini mencecah 22 peratus berbanding sasaran kerajaan 30 peratus, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, peningkatan pegangan itu dicapai antaranya berikutan sumbangan melalui pengagihan unit saham khas bumiputera melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) yang dilaksanakan oleh kementerian itu.

Bagi tahun lepas sahaja, beliau berkata, daripada 18 IPO atau 1.6 bilion unit saham khas bumiputera, sebanyak 1.5 bilion unit atau 91.6 peratus telah berjaya diperuntukkan kepada para pelabur bumiputera.

Namun, katanya kementerian akan mengkaji semula keberkesanan instrumen ini kerana walau pun sudah lama dilaksanakan, pegangan baru mencecah 22 peratus.

"Kita sedang melihat cara lebih berkesan untuk tingkatkan penyertaan bumiputera di dalam syarikat-syarikat di Malaysia," katanya kepada media di luar Sesi Taklimat Unit Agenda Peneraju Bumiputera (Teraju) di Menara Usahawan di sini.

Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh dan wakil-wakil persatuan, dewan perniagaan, badan bukan kerajaan dan usahawan bumiputera.

Ditanya bila jangkaan sasaran 30 peratus itu boleh dicapai, menteri itu berkata, Teraju akan mencari instrumen yang lebih berkesan dan menetapkan tempoh sasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal bulan ini mengumumkan penubuhan Teraju bagi menyelaraskan isu-isu pembangunan ekonomi bumiputera. - BERNAMA

Allah is always by your side, Insha Allah, Insha Allah, Insha Allah

No comments: