Wednesday

Najib Lancar Skim Rumah Pertamaku Bantu Golongan Muda Milik Rumah



Skim Rumah Pertamaku, yang dilancarkan hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menarik penyertaan lebih daripada 20 institusi kewangan, termasuk institusi kewangan Islam.

Najib berkata skim itu yang merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama Cagamas Bhd dan institusi kewangan, dilaksanakan bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup serta harga hartanah yang tinggi di lokasi-lokasi tertentu di Malaysia.

“Ini juga akan membantu golongan muda di Malaysia memiliki rumah pertama mereka dengan cepat,” kata Najib pada pelancaran Skim Rumah Pertamaku itu, di sini hari ini.

Melalui skim ini, individu, terutama golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000, boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran sehingga 30 tahun.

“Ini bermakna, kerajaan, melalui Cagamas akan menjamin bayaran pendahulan atau wang deposit sebanyak 10 peratus kepada pembeli rumah tersebut,” kata Perdana Menteri.

“Diharapkan skim ini juga akan menggalakkan pemaju perumahan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat Malaysia,” kata Najib.

Bank yang terlibat ialah Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd, Alliance Bank Malaysia Bhd, Alliance Islamic Bank Malaysia Bhd, AmBank Bhd, AmIslamic Bank Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CIMB Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, EON Bank Bhd, EONCAP Islamic Bank Bhd, Hong Leong Bank Bhd, Hong Leong Islamic Bank Bhd.

Maybank Bhd, Maybank Islamic Bank Bhd, OCBC Bank Malaysia Bhd, OCBC Al Amin Bhd, Public Bank Bhd, Public Islamic Bank Bhd, RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd, United Overseas Bank Malaysia Bhd, Standard Chartered Bank Malaysia Bhd, Standard Chartered Saadiq Bhd dan Cagamas Bhd (CSC Department).

Ketika pembentangan bajet 2011, tahun lepas, Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Ini termasuk peruntukan sebanyak RM568 juta untuk membina 300 unit menerusi Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit menerusi Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit dalam Projek Bantuan Rumah Sewa.

“Peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta disediakan, khususnya untuk membantu pekerja estet miliki rumah dalam Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah,” kata Najib.

– BERNAMA


Allah is always by your side, Insha Allah, Insha Allah, Insha Allah

No comments: