Tuesday

Koridor Utara tarik pelaburan RM7.48b

Koridor Utara tarik pelaburan RM7.48b

KUALA LUMPUR 2 Mei - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) telah membawa masuk pelaburan berjumlah RM7.48 bilion sejak 2008 sehingga 2010, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak (gambar).

Daripada jumlah itu, hanya 8.99 peratus merupakan pelaburan kerajaan dan selebihnya adalah sektor swasta, kata beliau.

''Bagi tahun ini, NCER mengumumkan penglibatan pelaburan sektor swasta sebanyak RM6.08 bilion.

''Daripada jumlah ini, ia akan menjana pendapatan kasar negara (GNI) sebanyak RM11.4 bilion dengan peluang pekerjaan mencecah sehingga 20,000 dalam empat kategori iaitu pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Redza, NCIA pada Januari lalu, telah memeterai perjanjian dengan empat syarikat dalam zon NCER membabitkan RM155.5 juta.

''Empat syarikat tersebut adalah syarikat tempatan yang mewakili setiap negeri di bawah NCER.

''Melalui perjanjian tersebut ia menyediakan peluang pekerjaan sehingga melebihi 1,000 dalam pelbagai peringkat sama ada yang mempunyai skil tinggi atau tidak,'' jelasnya.

Redza berkata, baru-baru ini, terdapat pelaburan luar yang masuk ke NCER bernilai RM335 juta dengan peluang pekerjaan sebanyak 300 bagi fasa pertama.

Ia melibatkan kemasukan syarikat dari Singapura dalam bidang ruang angkasa iaitu Singapore Aerospace Manufacturing Pte. Ltd. (SAM).

Redza berkata, melalui pembinaan kilang pembuatan tersebut kerja-kerja penyumberan luar bernilai RM40 juta dapat diterima dari rantaian bekalan tersebut.

Selain itu, NCIA akan meneruskan usaha untuk meningkatkan pelaburan masuk ke NCER tidak kira dari tempatan mahupun luar negara.

''Antara usaha yang dijalankan pihak kami adalah menyertai beberapa misi perdagangan di luar negara.

''Sebagai contoh misi perdagangan ke Eropah yang baru sahaja NCIA sertai, beberapa mesyuarat susulan telah dilakukan. Salah satu dengan syarikat pembuatan Jerman serta logistik dari Perancis.

''NCIA juga berminat untuk meneroka sektor pembangunan sumber manusia yang ditawarkan di Perancis tetapi masih belum memuktamadkan sebarang bentuk perjanjian yang kukuh,'' jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kewujudan koridor masih relevan pada masa ini, Redza berkata, ia perlu memandangkan setiap koridor mempunyai fokus atau tumpuan mereka masing-masing.

''Tujuan penubuhan koridor-koridor ini adalah untuk mengoptimumkan pulangan ekonomi kepada negeri-negeri dan juga negara selain membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan kemahiran.

''Setiap kawasan bagi koridor adalah unik. Bagi NCER sendiri fokus kami adalah pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik,'' katanya.

Bergerak ke hadapan, NCIA akan meningkatkan strategi mereka dalam terus menarik pelaburan ke NCER.


Allah is always by your side, Insha Allah, Insha Allah, Insha Allah

No comments: