Friday

Tiada gelembung hartanah - Chee Heung

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Malaysia tidak mungkin mengalami gelembung hartanah tahun depan memandangkan beberapa langkah telah diperkenalkan untuk mengekang sebarang lonjakan dalam harga hartanah, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung.

Beliau berkata, dalam Bajet 2012, kerajaan akan menyemak kembali cukai keuntungan hartanah (RPGT) dengan menaikkan kadar untuk hartanah yang dilupuskan dalam tempoh dua tahun pembelian kepada 10 peratus daripada lima peratus.

"Saya rasa 10 peratus ialah peratusan yang realistik kerana kita tidak mahu memperlahankan pertumbuhan industri hartanah dan pembinaan," kata beliau kepada pemberita di luar acara Kongres Hartanah Asia Pasifik FIABCI 2011 di sini hari ini.

"Pada masa yang sama, tidak ada ruang untuk spekulator untuk cuba spekulasi dan membuat wang daripada pembelian hartanah dan menjualnya dalam tempoh yang amat singkat.

"Harga sudah stabil dan tidak akan berlakunya gelembung," kata Chee Heung.

Cadangan-cadangan lain termasuklah 100 peratus pengecualian duti setem ke atas pembelian rumah di bawah Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan 100 peratus pembiayaan pinjaman untuk pembeli pertama kali.

Kerajaan juga akan menaikkan had harga rumah di bawah Skim Rumah Pertamaku dari RM220,000 kepada RM400,000 bermula Januari 2012 dan melanjutkan tempoh insentif cukai kepada lima tahun untuk Amanah Pelaburan Hartanah (REITs).

Walaupun sektor hartanah memperlihatkan trend yang menurun tahun ini, Chee Heung berkata yang para pemaju terus membina rumah.

Sektor hartanah menyumbangkan 7.8 peratus atau RM30.5 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun lepas. - Bernama


Nota : Dan bagi kekawan yang lom add aku sebagai kawan FB korang.. korang kasi add aaa cari jer 'farid myvi' mudah jer.. jom kita kenal-kenal kat FB lak.. jom jom

No comments: