Tuesday

Mohon bank longgarkan syarat pinjaman

KUALA LUMPUR 11 April - Persatuan Pemaju Hartanah Melayu Malaysia (PPHMM) berharap agar bank dapat memudahkan syarat pinjaman kepada ahli-ahlinya yang ingin memajukan tanah rizab Melayu.

Presiden PPHMM, Mohd. Wari Mat Zaki berkata, kesukaran mendapatkan pinjaman bank telah menjejaskan kelancaran projek pembangunan di tanah rizab Melayu.

"Kami berharap agar agensi kerajaan yang terlibat dapat membantu memudahkan ahli persatuan mendapat pinjaman dan seterusnya memajukan tanah rizab Melayu untuk membantu orang Melayu menikmati kehidupan yang lebih baik kerana kami dapat menawarkan harga hartanah yang mampu milik khususnya kepada orang Melayu itu sendiri," katanya.

Tanah rizab Melayu yang susut nilai sebanyak 20 peratus telah menyebabkan bank susah untuk meluluskan pinjaman kepada pemaju bumiputera, katanya.

Mohd. Wari berkata, PPHMM menganggarkan nilai pembangunan tanah rizab Melayu sekitar RM5 bilion dan dari jumlah itu RM1 bilion terdapat di sekitar Lembah Klang.

"Nilai yang besar ini dapat diagihkan kepada para pengusaha Bumiputera seperti kontraktor kecil jika bank dapat melonggarkan syarat pinjaman kepada ahli persatuan.

"Jika hal ini dapat direalisasikan, kami mejangkakan dalam masa dua tahun nilai kasar pembangunan yang bernilai RM1 bilion dapat diselesaikan," kata Mohd Wari pada satu sidang media di sini hari ini.

Selain itu, PPHMM juga berharap agar dana dan projek perumahan dari kerajaan dapat diserahkan kepada persatuan supaya persatuan dapat mengagihkan kepada ahli-ahlinya yang layak dan persaingan sihat dapat diamalkan.

"Kami juga mohon agar PPHMM ini dapat diletakkan dibawah seliaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kami dapat bersaing dengan syarikat besar seperti syarikat Kerajaan dan seterusnya dapat memajukan para pemaju Bumiputera," katanya. - BERNAMA

Allah is always by your side, Insha Allah, Insha Allah, Insha Allah

No comments: