Tuesday

SPNB sasar bina 3,000 rumah

SPNB sasar bina 3,000 rumah
Oleh Zuraidah Mohamed

2012/01/31
SYARIKAT Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan membina 3,000 daripada 10,000 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan ini menerusi pelaksanaan pembinaan fasa pertamanya.

Pengerusinya, Datuk Ir Idris Haron, berkata SPNB yang diberi mandat kerajaan bagi melaksanakan projek RMR itu akan menggunakan konsep Sistem Binaan Industri (IBS) bagi memastikan rancangan membina 45 unit rumah RMR di setiap kawasan Parlimen tahun ini berjalan dengan lancar.
Katanya, sejak program RMR itu diperkenalkan lapan tahun lalu, SPNB menerima 44,359 permohonan dan daripada jumlah itu, 19,927 permohonan telah diluluskan membabitkan peruntukan RM1.2 bilion.
Pada masa sama, SPNB menyerahkan 17,049 unit rumah yang siap dibina kepada pemiliknya.

“SPNB diberi mandat untuk menerajui pembinaan rumah mampu milik yang berkualiti di negara ini. Tahun ini, kami akan menumpukan kepada pelaksanaan projek rumah RMR dalam memastikan mereka khususnya yang berpendapatan rendah mempunyai kediaman yang selesa dan sempurna.

“Sebelum ini, SPNB berkemampuan membina 2,500 unit RMR setahun menerusi kaedah konvensional kerana sumber terhad, tetapi dengan IBS kami yakin pembinaan 10,000 unit rumah RMR setahun akan dapat dilaksanakan dengan jaya,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Idris berkata, setakat ini, kerajaan mengeluarkan subsidi RM340 juta bagi membina rumah RMR di seluruh negara dan tambahan peruntukan sebanyak RM200 juta menerusi Bajet 2012 bagi pembinaan 10,000 unit kediaman itu tahun ini.
Katanya, mereka yang hendak memohon program RMR mesti berpendapatan RM1,500 ke bawah selain sudah mempunyai keluarga, belum memiliki kediaman sendiri serta mempunyai tanah untuk dibangunkan rumah.

“Mereka hanya perlu membayar RM150 sebulan dengan tempoh pembiayaan selama 25 tahun. Ini bermakna harga rumah yang mereka bayar hanya RM45,000 sedangkan jika disemak nilai pasaran harga rumah berkenaan bernilai RM65,000,” katanya sambil memberitahu ruang rumah RMR kini diperluaskan dari hanya 850 kaki persegi kepada 1,000 kaki persegi yang merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Dalam pada itu, Idris berkata, bermula tahun ini SPNB menawarkan program rumah RMR berkenaan kepada mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 dengan memenuhi syarat ditetapkan iaitu tidak mempunyai rumah sendiri atau rumah didiami usang, mempunyai tanah serta berkeluarga.

Bagaimanapun, katanya harga rumah adalah lebih tinggi iaitu antara RM95,000 hingga RM100,000 mengikut pasaran semasa. Tempoh bayaran balik selama 25 tahun dengan bayaran pinjaman RM350 sebulan.

“Program rumah RMR ini diperluaskan kepada mereka yang berpendapatan sederhana kerana kami mendapat permintaan yang banyak daripada golongan ini yang tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk memiliki kediaman sendiri.

“Bagaimanapun, bayaran bulanan adalah lebih tinggi sedikit kerana ia tidak termasuk dalam pemberian subsidi oleh kerajaan. Ini adalah antara langkah SPNB dalam membantu rakyat negara ini memiliki kediaman sendiri,” katanya rumah RMR berkenaan adalah juga jenis rumah banglo menerusi beberapa model baru yang akan diperkenalkan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata SPNB akan menyiapkan sebanyak 3,500 unit rumah mampu milik yang berharga dari RM80,000 hingga RM200,000 tahun ini di seluruh negara.


Nota : Dan bagi kekawan yang lom add aku sebagai kawan FB korang.. korang kasi add aaa cari jer 'farid myvi' mudah jer.. jom kita kenal-kenal kat FB lak.. jom jom

No comments: