Nilai tanah di kawasan-kawasan penting utama di Kuala Lumpur boleh meningkat sebanyak 11 hingga 13 peratus setahun terutamanya ekoran pelaksanaan projek Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT), kata HwangDBS Vickers Research.
Kawasan penting utama itu ialah KLCC-Bukit Bintang, KL Sentral, Pusat Bandar Damansara-Damansara Heights, KL Eco-City-Midvalley dan Sentul.
Projek MRT itu juga disifatkan sebagai pemangkin untuk melonjakkan nilai hartanah Kuala Lumpur ke tahap yang lebih tinggi.
Pengarah Sekutu HwangDBS Vickers Research, Yee Mei Hui, berkata kenaikan nilai tanah dalam dua hingga tiga tahun akan datang didorong oleh harga jualan harta mewah, nisbah pembangunan-kawasan yang lebih tinggi serta pewujudan lebih banyak zon komersial.
Beliau berkata pelabur-pelabur haruslah memberi perhatian dan mengambil bahagian dalam tema MRT bernilai RM43 bilion dalam bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang.
“Dengan pengganda tiga kali, projek MRT akan memberi impak besar sebanyak RM210 bilion dalam 10 tahun ke atas ekonomi Malaysia dan meningkatkan kerancakan dan kesesuaian untuk hidup di Kuala Lumpur,” katanya pada satu taklimat media Jumaat.
Projek MRT di bawah Rancangan Greater Kuala Lumpur itu adalah pembangunan prasarana terbesar yang pernah dilaksanakan oleh Malaysia.
Menjelaskan lebih lanjut, Yee berkata projek MRT boleh menggalakkan lebih banyak usaha sama, penggabungan dan pengambilalihan serta pelabur harta yang mahu mengumpul simpanan tanah.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan tanah, mereka perlu bertindak cepat.
“Harta yang berhampiran dengan MRT berkemungkinan besar meraih premium 20 hingga 30 peratus,” katanya.
Menurut Yee, penerima manfaat terbesar daripada projek MRT ialah pemaju atau pemilik tanah yang luas berhampiran stesen pertukaran MRT di Bandaraya Kuala Lumpur dengan potensi pembangunan ketumpatan tinggi.
Beliau berkata pemilik dan pemaju harta ini mempunyai pemegang saham yang kukuh dan berpengaruh serta lembaran imbangan yang teguh, di samping rekod pencapaian dalam pembangunan ketumpatan tinggi untuk membida bagi stesen MRT disepadukan atau dibina berhampiran projek mereka.
“Pilihan utama kami ialah YTL Land & Development Bhd, Selangor Properties Bhd, Guocoland (M) Bhd, Bolton Bhd dan SP Setia Bhd yang mempunyai pendedahan Nilai Aset Bersih Dinilai Semula tertinggi kepada stesen pertukaran yang bakal dibina,” katanya.
Katanya meskipun tarikh MRT disasarkan siap masih jauh iaitu dari 2016 hingga 2020, namun harga hartanah akan mula meningkat kerana pemaju menetapkan harga berdasarkan jangkaan kemudahan dan jumlah lalu lintas yang lebih tinggi daripada projek MRT itu.
Kerajaan telah memulakan peragaan awam MRT Blue Line yang diluluskan selama tiga bulan untuk mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, dan lebih banyak perincian mungkin diumumkan berikutan siapnya Pelan Pembangunan Rel Bandar yang dijangkakan pada Mac tahun ini.
Yee menegaskan bahawa projek MRT itu mungkin dilaksanakan beriringan dengan lebuhraya-lebuhraya utama yang seharusnya membantu meminimumkan kos pengambilan tanah dan kelewatan pembinaan.
“Dengan projek MRT itu, kerajaan tidak perlu mengambil lebih banyak tanah kerana rizab lebuh raya digunakan. Ini akan meminimumkan kos pengambilan tanah.
“Kami meramalkan potensi kukuh bagi pelabur MRT untuk mencapai prestasi yang lebih baik dalam tahun-tahun akan datang,” kata beliau.
– BERNAMA
Allah is always by your side, Insha Allah, Insha Allah, Insha Allah
No comments:
Post a Comment