Friday

Kita mungkin patut bimbang HUTANG !!!

Zeti Akhtar Aziz menunjukkan buku 'Power Pengurusan Wang Ringgit Anda AKPK' di Bank Negara Malaysia, kelmarin.


KELMARIN Bank Negara Malaysia melancarkan Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (POWER!), sebuah program untuk mendidik setiap individu cara mengurus kewangan dengan baik sekali gus mengelakkan mereka dibelenggu masalah hutang keliling pinggang.

Inisiatif ini menunjukkan betapa seriusnya Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mahu membendung masalah hutang isi rumah lebih awal sebelum ia berada di luar kawalan.

Biarpun berdasarkan angka yang ada di tangan Gabenor BNM, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz kadar hutang isi rumah berjumlah RM577 bilion sehingga November lalu, masih lagi terkawal tetapi semua pihak mungkin patut juga berasa bimbang.

Kenapa tidak? Berdasarkan kepada demografi individu yang mendaftar ke dalam Program Pengurusan Kredit (PPK) yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), sebanyak 43.7 peratus adalah mereka yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun.

Ini diikuti oleh peserta yang berusia lebih 40 tahun dengan 40.7 peratus dan 15.5 peratus bagi peserta yang berumur di antara 20 sehingga 29 tahun.

Ini menunjukkan golongan ini membuat pinjaman apabila memasuki pasaran kerja ketika berusia di awal atau pertengahan 20an dan terbelit dengan kemelut hutang apabila usia menjengah 30an.

Berdasarkan perangkaan itu juga, sejak tahun 2007 sehingga 2010, seramai 32,997 (67.8 peratus) lelaki menyertai program PPK berbanding hanya 15,688 (32.2 peratus) perempuan.

Timbulnya isu ini adalah kerana pengurusan kewangan yang lemah, cetek pengetahuan kewangan dan tidak berdisiplin di dalam perbelanjaan harian mereka .

Kombinasi-kombinasi yang ada ini menyumbang kepada peningkatan hutang mereka, lantas mengakibatkan ketidakupayaan membayar balik pinjaman bak kata orang, ‘besar kerak daripada nasi’.

Pada usia yang masih muda, keghairahan dan keinginan untuk bergaya sama ada dengan membeli pakaian dengan fesyen terkini, kereta dan kediaman mewah menyebabkan mereka alpa untuk menyimpan secara berkala, malah lebih teruk membuat pinjaman untuk menampung kehidupan itu.

Dengan meningkatnya kadar faedah, peminjam tersebut akan mulai merasai bahangnya dan mulai tersepit apabila jumlah hutang yang ditanggung semakin membesar seperti belon.

Mungkin perkembangan ini boleh dielakkan dengan pihak berkuasa seperti BNM mengetatkan syarat-syarat pinjaman peribadi dan kad kredit.

Bahkan, individu yang baharu ingin membuat pinjaman mungkin perlu diberikan penarafan yang pada masa ini hanya dilakukan untuk syarikat-syarikat korporat.

Dengan berbuat demikian, hanya mereka yang benar-benar layak dan berkemampuan berpeluang mendapatkan pinjaman, selain pada masa yang sama, kegiatan pemberian ‘haram’ melalui ah long misalnya dan juga koperasi, diperhebatkan.

Pada masa ini, syarat-syarat yang dikenakan terlalu longgar dengan hampir siapa sahaja yang mempunyai pendapatan tetap dan berusia 18 tahun ke atas layak untuk memohon kad kredit dan pinjaman peribadi.

Biarpun penggunaan kad kredit dikatakan hanya berada di tempat ketiga sebagai penyebab utama kegagalan peminjam membayar hutang, ia masih lagi penyumbang yang besar.

Kita mengetahui kebanyakan mereka tidak mempunyai disiplin dan tidak merancang kewangan, mengapa tidak pula kita menyekatkan.

Biarpun angka AKPK menunjukkan kegagalan membayar hutang adalah disebabkan oleh beban kos perubatan yang tinggi, tetapi tidak mungkin bilangan yang berkenaan adalah orang muda dan kebiasaannya adalah golongan yang mungkin berusia 40 tahun ke atas.

Isu berhutang kerana tujuan perubatan itu sebenarnya boleh diatasi sekiranya rakyat Malaysia didedahkan secara lebih meluas dan agresif tentang insurans perubatan. Perkara ini kebanyakannya tidak ditonjolkan sangat oleh syarikat-syarikat yang terlibat kecuali lebih menekan manfaat terhadap pulangan pelaburan.

Pada masa yang sama, tidak ramai yang bersedia untuk mengambil insurans berkenaan sama ada kerana mereka telah dilindungi oleh skim yang ditawarkan oleh syarikat masing-masing dan tidak memahami betapa pentingnya mempunyai perlindungan tambahan.

Namun begitu, usaha BNM melancarkan POWER! sewajarnya dipuji kerana kata orang bijak lagi pandai, ‘‘Sediakan payung sebelum hujan’. Tambahan pula, adakalanya nasib tidak menyebelahi kita.

Dalam menangani permasalahan yang berada di hadapan kita, pihak Bank Pusat tidak boleh dibiarkan bersendirian untuk melakukannya tetapi digerakkan secara bersepadu melibatkan semua pihak termasuk institusi kewangan dan juga pihak berkuasa lain yang berkaitan. Lagipun, muafakat itu banyak berkatnya.


Allah is always by your side, Insha Allah, Insha Allah, Insha Allah

No comments: